Wednesday, August 12, 2009

Marhaban ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Ilahi, kerana tidak lama lagi kita akan dipertemukan kembali setelah setahun lamanya berpisah dengan bulan yang mulia, iaitu Bulan Ramadhan. Suatu bulan yang penuh dengan keistimewaan dan juga keberkatan sebagai mana sabdaan Nabi SAW.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.

Juga telah diciptakan satu malam yang sangat istimewa bagi umat-umat Islam iaitu Malam Lailatul Qadar, malam yang mempunyai kebaikan melebihi seribu bulan seperti mana firman Allah dalam surah Al-Qadr, ayat 3 :-

"Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan"

Inilah bukti rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba Nya. Diberikan satu bulan khas untuk kita merasai kelazatan beribadah, tanpa kekacauan syaitan durjana dan juga diganda-gandakan kebaikan kepada sesiapa yang berusaha mencari kebaikan tersebut.

Insya Allah di Korea juga kita telah merangka beberapa program berbentuk ilmu, khas untuk bersama-sama mencari dan merasai kelazatan ibadah dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelma nanti.

Antara program-program yang telah dirangka untuk sebulan nanti adalah

1. Ahlan Wasahlan ya Ramadhan

Kita akan berbuka puasa bersama-sama dan kemudian membacakan doa selamat kepada ayah seorang saudara kita yang sedang dalam kesakitan. Selepas itu akan diteruskan dengan Isyak, Terawikh dan tadarus Alquran.

2. Grand Enrichment Class (GEC)

Program ini menyaksikan kehebatan penceramah jemputan yang dijemput di kalangan pelajar di Korea. Penceramah-penceramah ini bakal mengupas tajuk-tajuk yang juga tidak kurang hebatnya. Antaranya ialah berkaitan dengan 'Freemason' , 'Quran and Modern Science' dan juga 'Aktifkan Ramadhanmu'.

3. Unity For Peace

Unity For Peace ialah program berbentuk forum yang akan membincangkan isu berkaitan Comparative Religion. Dalam forum ini kita akan cuba mencari beberapa isu penting dan akan membincangkan dari sudut pandangan setiap agama masing-masing. Ahli-ahli panel yang dijemput juga adalah seorang yang hebat mewakili agama Islam, Kristian dan juga Hindu.

4. Karnival Keseniaan Islam

Beberapa pertandingan dan persembahan berteraskan kepada keseniaan Islam akan dijalankan semasa Karnival Keseniaan Islam ini. Antaranya ialah Pertandingan Hafazan, Tilawah dan juga Tulisan Khat. Kami juga ada menjemput kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di Korea Selatan iaitu kumpulan yang diketuai oleh saudara Azharul untuk menyampaikan nasyid semasa karnival tersebut. Beberapa bazar juga akan dibuka oleh para pelajar untuk memeriahkan lagi karnival keseniaan Islam nanti.


Akhir kata, semoga program-program yang telah disusun ini mampu membantu kita dalam proses untuk mentarbiyyah diri kita semula dan tidak lupa kepada proses mencari ilmu-ilmu yang menjadi teras kepada ketamadunan Islam suatu masa dahulu.

Wassalam

No comments: