Friday, June 26, 2009

Coretan subuh hari

Bismillahirrahmanirrahim

Tabuh berbunyi gemparkan alam ini...

Berkumandang sahutan ayam...

Tetapi insan, kalaupun ada hanya...

Mata yang celik, dipejam lagi...

Hatinya penuh benci, berdengkurlah kembali...

Begitulah suara insan di alam mimpi...

Setiap pagi, setiap hari...

-Sedutan daripada nasyid raihan-

Kekuatan umat Islam sebenarnya dilihat daripada keupayaan mereka untuk bangkit di Subuh hari berjemaah sama ada di rumah-rumah ataupun di masjid-masjid.

Seandainya umat Islam mampu untuk bangun ramai-ramai berjemaah di masjid hatta di rumah sekali pun, maka akan gerunlah orang kafir dengan kekuatan umat-umat Islam.

Andainya rumah-rumah umat Islam dan juga masjid-masjid cerah bergemerlapan di kala subuh hari, maka akan tenggelam lah orang kafir berselindung di tempat-tempat gelap sambil mengakui kehebatan umat-umat Islam.

Tetapi seandainya rumah umat-umat Islam gelap, tidak bercahaya, tidak langsung kedengaran bunyi azan mahupun bacaan alquran di kala Subuh hari, begitu juga dengan masjid-masjid, maka pada saat itu, terjadilah keadaan di mana umat Islam sentiasa dipijak-pijak.

Umat Islam dijadikan bagaikan tidak punya perasaan, tidak punyai maruah, dibunuh sesuka hati, dimaki difitnah sesuka hati, kerana melihatkan ketiadaan upaya yang membela nasib umat-umat Islam sendiri.

Begitulah keadaan kita wahai sahabat-sahabat sekalian. Aku menulis tentang ini bukan kerana aku mahu menceritakan kelemahan umat Islam, tetapi aku takut, engkau langsung tidak menyedari tentang perkara ini lantas sentiasa terbuai dek angan-anganmu setiap hari.

Pernah seorang rakanku menceritakan bahawa dirinya adalah pelaburan terbaik yang pernah ayahnya lakukan. Sedangkan aku melihat dirinya dimakan oleh dunia tanpa berfikir apakah pulangan yang dapat dilakukan oleh dirinya kepada Tuhan Rabbul A'lamin. Aku juga melihat dirinya ditiup oleh tiupan-tiupan angin kejayaan duniawi yang sangat indah sehingga melenyapkan gambaran-gambaran keindahan syurga yang sepatutnya lebih diusahakan olehnya.

Apakah pelaburan yang terbaik seorang ayah, seorang ibu melainkan daripada memperolehi anak yang soleh, solehah yang dapat mendoakan diri mereka ketika mereka di alam barzakh. Sedarlah wahai sahabatku, doa anak yang soleh tiada hijab untuk terus sampai kepada ibu bapa mu, dan dunia yang dikejar olehmu hanyalah bersifat sementara. Jangan menunggu waktu tuamu, kerana hidayah Allah apabila sudah datang tetapi tidak diambil, maka tidak tentu lagi akan datang untuk kali keduanya.

Setiap hari ayahku mengejutku subuh ketika di rumah, bangun untuk pergi ke masjid solat berjemaah. Kadang-kadang aku terbangun sendiri, dan apabila tidak sempat untuk kemasjid kerana ayahku sudah siap untuk bertolak, maka akan kukejutkan adik-adik untuk sama-sama solat subuh berjemaah di rumah. Kemudian aku bawakan zikir munajat alunan Ustaz Badrul Amin ataupun Al-Ma'thurat. Sekiranya aku tiada di rumah, maka adikku yang di bawah yang akan membawa apa yang telah ku bawa.

Bukan aku ingin menunjuk-nunjuk ataupun membangga diri, tetapi aku ingin memberitahu mu bahawa tugasmu sebagai seorang abang, sebagai seorang kakak bukanlah sekadar seperti yang engkau rasakan. Tidak semudah itu wahai sahabat-sahabat.

Jika engkau merasakan tugasmu sebagai seorang abang, seorang akak, hanyalah untuk berkongsi gembira duka bersama adik-adik, maka engkau sudah silap, engkau sudah salah. Sedarlah wahai sahabat-sahabat !! Kita punyai tugas yang lebih besar dari itu. Tugas kita bukan sekadar berkongsi pengalaman bersama adik-adik tetapi juga menolong ibu bapa mendidik adik-adik. Engkaulah tempat di mana adikmu melihat untuk memperoleh sumber rujukan. Walaupun engkau berada jauh dari adik-adik, tetapi engkaulah yang menjadi sumber inspirasi mereka. Seandainya tidak engkau tunjukkan sifat, ataupun sikap yang boleh menjadi contoh model kepada adik-adik, maka engkau telah khianati tugasmu sebagai seorang abang, sebagai seorang kakak.

Ajarlah adik-adikmu untuk bangun subuh, berjemaah sama-sama yang menjadi tunjang kekuatan kepada seorang umat Islam. Didiklah mereka sifat-sifat ataupun pengetahuan yang perlu ada di dalam Islam yang perlu mereka ketahui. Tunjuklah kepada mereka bagaimana mereka sepatutnya perbuat, apa yang sepatutnya mereka perlu lakukan.

Sekali lagi bukan aku bermaksud untuk menyalahkan diri sesiapa, tetapi sekadar memperingatkan antara satu sama lain. Tugas kita bukan sekadar seperti apa yang kita fikir, tetapi lebih besar daripada itu. Terpulang kepada kita bagaimana untuk mentafsirkannya.

Semoga sama-sama sentiasa di bawah redha dan kasih sayang Allah...

No comments: